Sombong enggan berunding kerusi, kini Amanah rayu PN tak bertanding PRN Johor

Semasa akar umbi Pakatan Harapan (PH) Johor meminta pintu rundingan dibuka dengan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, ia ditolak mentah-mentah kerana mengikut cakap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kini, selepas PKR membuat keputusan untuk menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang PH, tiba-tiba Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad merayu agar PN menimbang untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Kalau PN boikot PRN Johor, “undi tolak BN (Barisan Nasional)” akan bersatu dan BN akan dikalahkan.

“Hentikan diri daripada digunakan sebagai pemecah ‘undi menolak BN’ dengan tidak bertanding dalam PRN Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, cadangan itu mungkin dilihat agak ekstrem oleh sebahagian pimpinan PN, tetapi itu sahaja cara yang ada untuk mengajar BN.

Beliau berkata, sekiranya BN kalah pada PRN Johor, ia akan kembali merayu dan memujuk PN untuk bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Baru akan terzahir nilai tambah yang dibawa PN. Perlu diperakui kelicikan BN. Ia menyokong PN pada awalnya hanya untuk muncul sebagai juara akhirnya,” katanya.

Menurutnya, semasa PRN Melaka, BN mendapat hanya 38% undi popular namun memperoleh majoriti 2/3 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Keadaan ini mungkin dianggap pelik, namun itulah hakikatnya. Ia berlaku kerana undi yang menolak BN pecah antara PH, yang mendapat 37% dan PN, yang mendapat 25% undi popular,” katanya.

Penganalisis politik melihat keputusan PRN Melaka boleh disifatkan sebagai kejayaan BN mengembalikan status politik mereka di Melaka, namun begitu, pencapaian PN walaupun tidaklah begitu besar, cukup memainkan peranan sebagai pemecah undi atau “spoiler” kepada BN dan PH.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya PH membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Selain itu, seorang lagi bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman juga berkata PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang, ia ibarat “serah tengkuk” kepada UMNO dan BN.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ketua Pembangkang enggan menerima cadangan tersebut dan mahu parti pembangkang masuk bertanding PRN Johor meskipun ia hanya menyebabkan pertembungan banyak penjuru yang akan menguntungkan UMNO dan BN sahaja.

BERITA BERKAIT
POPULAR