Sokongan meningkat: Kerajaan PN absah, stabil

Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin.

Peningkatan sokongan kepada pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja di kalangan bangsa Melayu tetapi juga dukungan bukan Melayu sebagai bukti mereka yakin dengan citra PN yang mewakili rakyat pelbagai kaum.

Perkara ini terbukti apabila tinjauan yang dilakukan oleh badan pengkaji bebas mendapati 67 peratus pengundi di Semenanjung Malaysia berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pemuda PN, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, hasil kajian ini dilihat mampu menjadi ukuran semasa untuk mengetahui sentimen rakyat kepada Kerajaan Perikatan Nasional.

“Tinjauan terhadap pengundi di beberapa kawasan mendapati ramai yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding pemimpin lain bagi menggalas tugas sebagai Perdana Menteri.

“Peningkatan sokongan kepada Kerajaan adalah kerana kepimpinan ini dilihat berjaya mendepani wabak Covid-19 yang melanda negara dengan baik apabila berjaya mengimbangi keperluan menyelamatkan nyawa rakyat di samping memastikan kelestarian ekonomi terus berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pemuda PN yakin dan komited untuk terus bekerja bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat khususnya di kalangan generasi muda untuk terus bersama-sama PN melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

“Kami juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pimpinan kerajaan PN di atas kejayaan mengemudi negara seterusnya menampilkan keabsahan dan kestabilan negara,” katanya.

Terdahulu, satu tinjauan badan pengkaji bebas mendapati sokongan orang Melayu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meningkat kepada 83 peratus, malah popularitinya dikalangan rakyat di semenanjung Malaysia juga masih kekal stabil.

POPULAR