
Abdul Hadi dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang lain ketika mengunjungi Dr Mahathir. Gambar FB Proklamasi Orang Melayu.
Sokongan beberapa pemimpin PAS terhadap Proklamasi Orang Melayu tiada kaitan dengan parti politik mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertemuan pimpinan PAS dengan Dr Mahathir minggu lalu itu hanya untuk menyatakan komitmen dan persetujuan terhadap proklamasi tersebut.
“Ia tiada kaitan dengan isu politik apatah lagi orang di dalamnya (Tun Mahathir) dan semua ahli jawatankuasa semuanya bukan ahli Parlimen pun.
“Pertemuan itu lebih kepada berbincang mengenai bagaimana mahu mengukuhkan proklamasi. Tiada kena-mengena dengan Dewan Negara atau Dewan Rakyat.
“Jadi tentulah, kalau mereka bersetuju sekali pun tidak beri kesan kepada kedudukan kerusi-kerusi dalam Parlimen, dalam Dewan Rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.
Pada 3 Mei, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Ahmad Samsuri; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman mengunjungi kediaman Dr Mahathir dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu tersebut.
Sebelum ini juga beberapa pemimpin Bersatu turut menyatakan sokongan terhadap proklamasi tersebut atas kapasiti individu termasuk Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Iskandar, Datuk Dzulkarnain Abdul Khalid
Pada 19 Mac lalu, Dr Mahathir mahu menganjurkan himpunan orang Melayu namun terpaksa dibatalkan selepas lokasi-lokasi perhimpunan tersebut dibatalkan tempahannya.
Beliau kemudiannya melancarkan kempen tersebut secara dalam talian pada hujung Mac untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu akan agenda perjuangan bangsa dan tanah air.