Sokong PN jika berlaku pertembungan BN dan PN di Melaka: Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa pengundi di Melaka memilih gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika berlaku pertembungan dengan Barisan Nasional (BN).

Hadi berkata langkah tersebut susulan keputusan PAS untuk menggunakan lambang PN pada PRN kali ini, ia sekaligus mengenepikan ketetapan parti itu sebelum ini yang akan menyokong penyandang dalam pertembungan PN-BN.

“Kita sokong calon PN,” kata Abdul Hadi pada sidang media semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS ke-67 hari ini.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan akan bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dan ia juga secara tidak langsung mengesahkan tiada kerjasama dengan PAS dan juga Bersatu.

UMNO sebelum ini juga meletak syarat kerjasama dengan PAS supaya menggunakan lambang mereka dalam PRN Melaka, ia bagaimanapun tidak diterima selepas PAS membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN.

Berhubung rundingan PRN Melaka dengan UMNO yang menjadi persoalan lantaran pertembungan yang nampak seperti tidak dapat dielak, Hadi sekadar menjawab “terpulang kepada UMNO nak bekerjasama dengan PN atau tanding sendiri”.

“Kita tengok senarai penamaan calon lusa nanti macam mana,” katanya lagi.

Hadi berkata, PAS masih lagi terbuka untuk berunding dengan semua parti bagi mengelak pertembungan antara parti memerintah.

“Bila sebut kerjasama maka mestilah berlaku pemberian kerusi antara parti-parti, bukan MN sahaja termasuk PN. Bahkan di Melaka melibatkan bukan sahaja PAS, tapi Bersatu termasuk termasuk rakan-rakan lain,” katanya.

Hadi memaklumkan calon PAS yang akan mewakili PN akan diumumkan petang ini bersama rakan-rakan parti komponen PN.

“Sekurang-kurangnya kita tanding 1/3 kerusi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR