Sokong perusuh, Pemuda UMNO Johor mahu beri khidmat guaman

Khidmat guaman akan disediakan Pemuda UMNO Negeri Johor kepada kumpulan perusuh di Batu Pahat yang ditahan polis sebagai tanda sokongan kepada remaja yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Langkah sama diambil blok pembangkang, Pakatan Harapan Johor semalam yang turut menyediakan khidmat guaman kepada kumpulan tersebut.

Naib Ketuanya Mohd Fared Khalid berkata perkhidmatan menerusi Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Negeri Johor itu merupakan inisiatif bagi membantu keluarga individu tersebut yang dipercayai tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk mendapatkan khidmat guaman.

“Tawaran ini akan melibatkan nasihat guaman, representasi peguam dan urusan surat menyurat, manakala kos lain akan dibiayai keluarga individu yang terbabit.

“Bantuan yang ditawarkan ini bukan berniat mahu menggangu pihak berkuasa terutama polis yang masih dan sedang menjalankan siasatan. Kami memberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat perkara ini,” katanya lapor Bernama,

Mohd Fared yang juga Pengerusi Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Negeri Johor berkata ahli keluarga individu tersebut boleh menghubungi pihak sekretariat di talian 012-7007579 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Setakat ini, 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis dengan 13 daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini manakala tujuh lagi masih ditahan sehingga esok bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan kira-kira 40 orang itu membuat halangan jalan raya menggunakan motosikal dan kereta di laluan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian dengan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.

Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi semalam juga menyokong kumpulan perusuh tersebut dengan mengucapkan tahniah atas tindakan mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR