
Skuad Prihatin Bersatu mula mengagihkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Pantai Timur. - Gambar FB
Skuad Prihatin Bersatu kini mula mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir, khususnya di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya beliau telah mengarahkan Skuad Prihatin Bersatu untuk turun ke lapangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir, terutama di Kelantan dan Terengganu.
“Saya telah mengarahkan Skuad Prihatin Bersatu untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur.
“Alhamdulillah, bantuan telah mula disampaikan. Saya harap bantuan ini dapatlah meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (24 Disember 2022).
Sambil berterima kasih kepada Skuad Prihatin Bersatu yang sentiasa peka dan prihatin dengan nasib rakyat, beliau juga berkata ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bersatu juga akan terus memberi bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Insya-Allah, Bersatu akan terus membantu rakyat sedaya upaya yang mampu dan istiqamah dengan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Muhyiddin mengarahkan supaya jentera digerakkan secara bersepadu melalui Skuad Prihatin Bersatu sebagai jambatan penghubung bantuan dan meringankan beban mangsa banjir.
Katanya, jentera Bersatu peringkat Negeri, Bahagian, dan sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu telahpun menggerakkan pasukan sukarelawan bantuan banjir untuk misi ini di semua lokasi yang terkesan.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah meminta semua Ahli Parlimen, Senator dan ADUN-ADUN untuk meneruskan misi bantuan kepada yang memerlukan.
“Skuad Prihatin akan menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan setempat, agensi pengurusan bencana banjir, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta pemimpin setempat supaya skop bantuan dihulurkan tidak bertindan dan boleh dikoordinasi dengan baik dan berkesan.
“Semua peringkat kepimpinan diseru agar memberikan perhatian sepenuhnya di dalam memberikan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa-mangsa banjir, terutamanya fasa pertama bantuan keperluan di Pusat Pemindahan Sementara dan fasa kedua, gotong-royong membersihkan rumah-rumah terlibat,” katanya.