Situasi Melaka berbeza dengan Sabah, PRN tak wajar tangguh

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan pada masa ini, dan risiko lonjakan kes Covid-19 seperti yang berlaku susulan PRN Sabah, tahun lalu, sebenarnya berupaya diatasi.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata situasi pandemik kini jauh berbeza dengan keadaan ketika PRN Sabah itu.

Beliau berkata, krisis politik di Melaka perlu diselesaikan segera kerana ia membabitkan penyandang jawatan Ketua Menteri yang hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Penyelesaiannya ialah melalui PRN. Tidak wajar PRN ditangguhkan atas alasan bimbang penularan Covid-19. Situasi di Melaka berbeza dengan Sabah ketika PRN berlaku pada September 2020.

“Penularan Covid-19 di Sabah amat tinggi ketika itu, manakala vaksinasi pula belum dilaksanakan. Namun sekarang, lebih 90 peratus pengundi (populasi dewasa) telah divaksin. Rentas negeri sudah dibenarkan, bermakna keadaan Covid-19 terkawal,” katanya dalam laporan Berita Harian.

Wan Ahmad berkata, Melaka hanya mempunyai 28 DUN, berbanding 73 DUN di Sabah yang membabitkan limpahan kehadiran dari luar sepanjang tempoh berkempen.

Malah, beliau mendakwa penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika PRN Sabah dilihat sangat lemah.

Sebaliknya jika PRN Melaka diadakan, katanya, situasi dijangka berlainan dengan persediaan untuk mengelak kesilapan ketika PRN Sabah daripada berulang.

Beliau turut mendakwa parti politik yang tidak mahu PRN Melaka diadakan, kerana belum bersedia dan ingin mengambil ‘jalan selamat’.

Katanya, PRN Melaka dilihat akan mampu memberi pengalaman baik kepada SPR untuk membuat persediaan awal sebelum menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lebih besar dan mencabar.

“Apa yang penting, syarat berkempen mesti dipatuhi. Kempen ceramah terbuka perlu dilarang sama sekali.

“Sebaliknya, perhebatkan budaya kempen digital melalui internet dan media sosial. Kempen rumah ke rumah boleh dilarang atau mesti mematuhi SOP sepenuhnya. Polis dapat mengawal,” katanya.

Wan Ahmad berkata, menyerahkan semula mandat kepada rakyat melalui PRN adalah jalan terbaik serta bertanggungjawab dalam menyelesaikan kemelut politik di Melaka itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR