
Bersatu membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan kenyataan agar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ‘jangan perasan’ berhubung dakwaan ditawar menyertai kerajaan perpaduan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menyifatkan Zahid ‘menggelupur’ kerana bimbang kedudukan UMNO terjejas dalam kerajaan perpaduan dengan kehadiran PAS.
Razali mendakwa, ‘orang tertentu’ dimaksudkan Hadi sebelum ini merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya nampak Zahid menggelupur dan gelabah selepas Anwar memberi tawaran kepada PAS. Zahid sudah boleh baca, politik Anwar di mana Umno tidak boleh dipercayai.
“Anwar tahu kerajaan perpaduan ini tidak kuat dan sebab itu ‘sentiasa jemput PAS’,” katanya, lapor FMT.
Hari ini, Zahid dilaporkan berkata tidak mengetahui soal tawaran kepada PAS itu dan menggesa agar Abdul Hadi ‘tidak perasan’.
Semalam Abdul Hadi mengesahkan terdapat beberapa individu yang menghubunginya dengan membut tawaran untuk menyertai kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO diterajui Anwar.