
Adakah Datuk Seri Hajiji Noor layak sebagai Ketua Menteri Sabah atau Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal?
Spekulasi semakin hangat mengatakan bakal berlaku perubahan kerajaan negeri Sabah apabila Warisan didakwa sudah memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
Bagaimanapun, sidang media yang didakwa dijadualkan berlangsung hari ini oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengumumkan kerajaan baharu di sebuah hotel di Kota Kinabalu ditangguhkan tanpa sebarang makluman terkini.
Wakil parti Warisan dilaporkan memberitahu penangguhan kepada pihak media yang telah menunggu lebih dua jam untuk sidang media yang sepatutnya berlangsung jam 4.30 petang tadi.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan mengapa sidang media berkenaan ditangguhkan namun wakil parti itu meminta maaf kepada wakil media yang hadir.
Tiada kelibat Shafie di lokasi sidang media walaupun hampir kesemua wakil rakyat mereka hadir.
Difahamkan, sepatutnya Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga hadir ke sidang media itu.
Bung juga dikatakan telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO di pejabat parti itu di Sabah, namun tidak dipastikan tujuan perjumpaan berkenaan dibuat.
Khabar angin mengatakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bakal tumbang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tampil menafikan perkara itu dan menegaskan khabar angin terbabit hanya mahu menjadikan politik di negeri ini tidak stabil.
Kerajaan negeri yang diterajui Hajiji kini mempunyai 53 daripada 79 (termasuk ADUN dilantik) kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerusi berkenaan ialah 29 daripada GRS dan 17 daripada Barisan Nasional (BN), manakala sokongan lain adalah daripada parti mesra kerajaan iaitu parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) sebanyak tiga kerusi, PAS (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (satu).
Sementara itu, pembangkang di Sabah memiliki 26 kerusi iaitu 19 daripada Warisan dan tujuh daripada Pakatan Harapan (PH).