
Kenyataan MCA itu dimuat naik di akaun media sosial parti itu, hari ini.
MCA hari ini mengingatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar menjaga kepentingan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya, bukannya Pakatan Harapan (PH) apatah lagi DAP.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dalam satu kenyataan menasihatkan Presiden UMNO itu agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati berkait kerjasama BN-PH.
“Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dengan PH.
“Perlu diingatkan bahawa sebagai Pengerusi BN, beliau haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen dalam BN, bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP.
“Kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga menegaskan sebarang kenyataan berkait MCA mesti dikeluarkan oleh pemimpin parti itu bukannya pihak lain.
Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh Parti MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya Presiden MCA sendiri, bukannya pihak lain.
BN kini bersama PH membentuk kerajaan campuran di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sabtu lalu, Zahid dilapor berkata pengundi UMNO boleh menggunakan konsep sama ketika menyokong dan mengundi calon MCA pada pilihan raya sebelum ini, untuk menyokong calon daripada DAP.
Jelasnya, atas dasar kebersamaan kaedah itu boleh digunakan untuk memilih calon dalam parti kerajaan perpaduan.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Menurutnya, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama kerajaan perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.
Ia disusuli seruan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching yang turut menyeru ahli dan penyokong DAP memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO pada PRN di enam buah negeri nanti.