
Dr Afif Bahardin
Tindakan menyiasat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan Seksyen 124 Kanun Keseksaan atas dakwaan ‘aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen’ disifatkan suatu yang zalim dan hipokrit.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Selangor, Dr Afif Bahardin berkata tindakan polis itu satu ugutan dan menunjukkan sikap tidak hormat kepada seorang negarawan yang lebih tua.
“Seksyen 124B jelas merupakan peruntukan yang menindas, tidak demokratik yang membenarkan penahanan jangka panjang tanpa bicara di bawah peruntukan Sosma.
“Ia berulang kali dikutuk oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) selama ini ketika mereka menjadi pembangkang.
“Sekarang selepas berkuasa, nada mereka berbeza,” kata Afif dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir disoal siasat polis dan dirakam percakapan di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur dipercayai berkait Proklamasi Orang Melayu yang diasasnya.
Menurut bekas pemimpin PKR itu, pemimpin PH termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilabel hipokrit kerana membenarkan penggunaan akta itu.
“Sekarang ini, sangat hipokrit apabila pemimpin PH yang sama termasuk Anwar Ibrahim untuk membenarkan dan berdiam diri mengenai penggunaan undang-undang tersebut terhadap pemimpin kanan pembangkang semasa.
“Berapa ramai lagi pemimpin pembangkang yang akan menjadi sasaran di bawah undang-undang yang menindas ini menjelang enam pilihan raya negeri penting yang akan datang,” soalnya.
Beliau juga mengingatkan kerajaan soal ikrar menegakkan kebebasan asas dan reformasi institusi di Malaysia.