‘Siapa pengkhianat? Saya dipecat bukan kerana rasuah, salah laku moral’

Bekas Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hasutan beberapa pemimpin UMNO supaya rakyat mempercayai beliau adalah pengkhianat sebenarnya bertujuan menutup hakikat bahawa parti itu sendiri telah dikhianati Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya pemimpin UMNO berkenaan menghasut kononnya beliau menyebabkan kerugian kepada bangsa Melayu apabila menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR serta DAP bagi menjatuhkan UMNO.

“Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau membiarkan skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO.

“Beliau memecat saya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus. Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, saranan beliau dijawab oleh Najib dengan pemecatan dari kerajaan dan UMNO.

“Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral. Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan.

“Adakah orang Melayu telah lupa saat kita dimalu dan dipandang hina di seluruh dunia kerana skandal 1MDB? Apakah orang UMNO tidak tahu bahawa punca mereka kalah adalah kerana Dato’ Seri Najib menyeret parti dalam skandal beliau?,” tegas Muhyiddin.

Presiden Bersatu itu bagaimanapun rela dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat di dalam UMNO.

Menurut Muhyiddin, sekarang ini terbukti perjuangan beliau benar setelah mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB.

“Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan. Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng.

“Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan Kluster Mahkamah untuk jadi PM,” katanya.

Menjawab persoalan sedemikian, Muhyiddin berkata beliau tidak meminta atau berkempen untuk menjadi PM, sebaliknya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai PM. Maka sahlah pelantikan saya itu,” katanya.

Menurutnya beliau menyedari bahawa sokongan itu sebenarnya ibarat pepatah ada udang di sebalik batu kerana beberapa hari kemudian, Kluster Mahkamah ini berjumpanya meminta beliau campur tangan dalam kes mereka supaya mereka dibebaskan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata walaupun mengetahui kedudukannya sebagai PM atas sokongan mereka, beliau enggan berbuat demikian dan tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan sebagai PM.

“Saya tidak sanggup menggadai prinsip perjuangan saya dan asas perjuangan parti saya semata-mata kerana mahu kekal berkuasa. Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO.

“Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?

“Sejak dari itulah bermulanya gerakan Kluster Mahkamah ini untuk menjatuhkan saya. Kalau saudara dan saudari masih ingat, sepanjang saya menjadi PM, UMNO yang dikuasai oleh Kluster Mahkamah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional walaupun ia baik untuk rakyat. Gelagat mereka tidak ubah seperti pembangkang,” katanya.

Muhyiddin juga mengimbas kembali rakaman audio seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Julai tahun lalu yang menggesa parti menarik sokongan kepada beliau ketika kes-kes Covid-19 sedang meningkat.

“Kononnya apabila kes-kes Covid-19 telah menurun, kerajaan PN akan mendapat kredit dan sukarlah untuk UMNO melawan PN. Itulah yang dilakukan oleh UMNO. Kira-kira sebulan selepas itu, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan jatuhlah Kerajaan Perikatan Nasional.

“Mereka berharap apabila saya jatuh, mereka akan menguasai semula kerajaan. Dengan menguasai kerajaan mereka fikir masalah mereka boleh diselesaikan.

“Tetapi perancangan mereka masih belum berhasil kerana PN masih lagi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan sokongan PN kepada Perdana Menteri daripada UMNO adalah dengan syarat Perdana Menteri tidak mencampuri urusan mahkamah,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR