Siapa layak berada di sisi Anwar?

Siapa yang paling layak berada di sisi kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantunya mengemudi PKR berdepan pelbagai kemelut dalaman dan bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), terus menjadi persoalan.

Dengan kembalinya orang kuat Anwar suatu ketika dahulu, Rafizi Ramli yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, dalam politik PKR, tentunya tidak disenangi beberapa pihak, termasuk bekas Setiausaha Politik Anwar Farhash Wafa Salvador.

Mencetuskan gelombang baharu krisis PKR setelah tewas teruk pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) – Melaka dan Johor – pengumuman Rafizi tentunya disambut serong Farhash yang turut mengidam kerusi itu.

Apa lagi hubungannya dengan Anwar masih baik sebagaimana disahkan Ahli Parlimen Port Dickson itu apabila berkata Farhash tidak dipecat daripada Pengerusi PKR Perak, Disember lalu.

Farhash pula mengatakan dia tidak dipecat sebaliknya meletak jawatan sebelum diganti oleh Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, sebagai pengerusi sementara.

Untuk rekod, kerusi Timbalan Presiden kosong setelah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu. Pada pemilihan PKR 2018, Rafizi bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden tetapi kalah kepada Azmin.

Pemilihan PKR 2022 akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini, kini dalam fasa pertama proses pemilihan dan anggota parti digalakkan untuk memuat turun Aplikasi ADIL yang telah pun dilancarkan pada 4 Mac lepas.

Kempen secara rasmi Pemilihan PKR 2022 hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan pada 8 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.

Beberapa otai PKR melihat Rafizi lebih layak menjadi Timbalan Presiden PKR kerana pengalamannya yang luas, berbanding Farhash yang mereka anggap masih baharu.

Namun, pada masa sama, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga dilaporkan mengintai jawatan Timbalan Presiden setelah sejak sekian lama berjuang dalam parti itu.

Malah, beliau hari ini menegaskan bahawa PKR tidak boleh menangguhkan pemilihannya sehingga selepas PRU-15 kerana Anwar memerlukan seorang timbalan dengan segera bagi membantunya menggerakkan PKR yang kelihatan lesu sejak Langkah Sheraton.

Memetik Malaysiakini, Saifuddin berkata beliau kini dilonggokkan dengan pelbagai jawatan penting, termasuk Setiausaha Pakatan Harapan (PH), ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan ahli jawatankuasa pemandu rundingan dengan kerajaan.

“Bayangkan sebuah kereta yang sepatutnya mempunyai lapan piston tetapi kini berjalan dengan empat. Berapa laju kereta itu boleh pergi,” soal Saifuddin ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan PKR cabang Tanjung Karang semalam.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu bagaimanapun tidak menyatakan kesediaannya bertanding kerusi Timbalan Presiden, sebaliknya kempen sudah mula digerakkkan pihak tertentu yang menggandingkan beliau dengan Farhash dan Anwar.

BERITA BERKAIT
POPULAR