Siapa lagi pemimpin UMNO masih dalam kumpulan WhatsApp bersama Anwar?

Teka-teki siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri (PM) baharu mungkin diputuskan dalam masa terdekat, bagaimanapun yang menjadi persoalan siapa pemimpin UMNO yang masih tinggal dalam kumpulan WhatsApp bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Agenda Daily sekadar membuat jangkaan kemungkinan besar hanya tinggal seorang sahaja pemimpin UMNO veteran yang masih tinggal bersama Anwar dalam kumpulan WhatsApp tersebut dan yang lain-lain sudah keluar (left) atau pun ditendang keluar oleh pengendalinya (admin).

Tiada yang lebih mengecewakan apabila Anwar yang bercita-cita menjadi PM baharu akhirnya ditipu anak muridnya sendiri, Agenda Daily tidak mahu menamakan nama individu tersebut memandangkan ia bukan lagi rahsia tertutup.

Namun, adat resam politik sudah menjadi lumrah yang perlu diterima oleh sesiapa sahaja, hari ini berkawan dan esoknya menjadi musuh dan ia adalah sesuatu yang normal.

Bagi Presiden PKR, tahniah atas percubaan untuk menjadi PM walaupun dilihat ia mungkin menemui kegagalan. Sama-sama kita nantikan keputusan yang Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat berhubung calon yang memiliki majoriti untuk menjawat jawatan nombor satu negara itu.

Selepas pengesahan terakhir parti dari Sarawak, GPS yang mengumumkan juga menyokong calon tunggal daripada Perikatan Nasional (PN), ia sekaligus mengesahkan Anwar sudah terkeluar daripada senarai tersebut.

Buat Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak perlu kecewa kerana sudah melakukan yang terbaik untuk negara dan dipaksa berundur oleh kumpulan yang rakus kuasa dan tidak sabar menunggu krisis kesihatan melanda reda.

Dalam kemelut politik terkini, ia menunjukkan betapa tak ikhlasnya parti pembangkang yang kononnya mahu membela nasib rakyat dan prihatin dengan keadaan sekarang hanya retorik semata-mata, apabila menolak mentah-mentah cadangan kerjasama yang ditawarkan oleh Muhyiddin sebelum ini.

Blok pembangkang adalah orang yang kalah kerana kesombongan dan keangkuhan segelintir pemimpin mereka, jangan lagi harapkan peluang keemasan tersebut akan berulang dan hadaplah bertembung dengan UMNO selepas ini.

Perlawanan kali ini berbeza sama sekali kerana pembangkang akan bertembung dengan UMNO yang diketahui lebih agresif dan tidak menghiraukan pandangan mana-mana pihak selain hanya mereka sahaja betul.

Jadi, tundinglah jari sendiri menyalahkan diri sendiri kerana kebodohan pemimpin pembangkang dan rakyat pasti akan menghukum andan dalam pilihan raya umum nanti kerana tidak mahu bersatu hati demi rakyat tercinta.

Pesanan kepada Anwar, belajarlah menjadi pemimpin berjiwa besar dan jangan terlalu bercita-cita tinggi untuk menjadi PM selagi tidak memiliki dukungan keseluruhan rakyat. Sedarlah Anwar, majoriti tidak disebelah saudara dan belajarlah menjadi seorang yang menerima hakikat dan fakta walaupun pedih.

Untuk penggal ini sahaja, sejarah sudah mencatatkan tiga PM berbeza dilahirkan daripada kemelut politik yang bermula daripada blok Pakatan Harapan (PH), blok pembangkang yang kononnya berjuang untuk rakyat.

Tidak perlu berdolak-dalik kononnya krisis politik ini bermula dengan pengkhianatan, rakyat tidak lupa kumpulan-kumpulan kecil yang fanatik dengan Anwar mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad berundur dengan segera dan akhirnya menyaksikan Bersatu terpaksa membalasnya dengan cara yang tidak baik.

Bersatu keluar daripada PH kerana tidak bersama Anwar dan tindak-tanduk DAP yang sentiasa membelakangkan rakan parti sehingga apabila Dr Mahathir diserang oleh puak-puak Anwar tidak ada seorang yang tampil membela sama ada dari parti Amanah atau DAP sendiri.

Jadikan ini sebagai satu pengajaran dalam menjalinkan kerjasama politik dengan rakan-rakan parti selepas ini, saling hormat menghormati antara satu sama lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR