Siapa cuba tenggelamkan PAS akan tercampak keluar, kias Hadi Awang

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan mana-mana pihak yang cuba mengubah hala tuju atau menenggelamkan perjuangan parti itu akan tercampak keluar dengan sendiri.

Menurutnya PAS wajib mewujudkan kumpulan Islam yang beristiqamah di atas prinsip aqidah, syariah, dan akhlak supaya dipelihara oleh Allah laksana bahtera yang kukuh dan betul perjalanannya yang berprinsip.

“Sesiapa yang mencuba untuk mengubah hala tujunya atau menebuknya bagi ditenggelamkan, nescaya akan dicampak keluar atau tercampak sendiri dengan kehendak Allah yang sentiasa memelihara agama-Nya (Islam).

“Sehingga dalam arena politik selepas merdeka, PAS mengambil pendekatan konsep demokrasi tanpa kekerasan dalam negara sendiri dan masyarakat bersaudara walaupun bermasyarakat majmuk.

“PAS juga mengambil pendekatan bermuamalat dengan pihak lain daripada jemaahnya, sama ada Islam ataupun bukan Islam. Usaha pihak yang mahu merosakkan pendekatan ini dapat disingkirkan sepanjang perjalanannya, sehingga PAS langsung tidak rebah tersungkur.

“Mereka yang tersungkur ialah mereka yang mengacau perjalanannya, sama ada yang menipu, ekstrem, ataupun tiada kebijaksanaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, sehari selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mengumumkan keluar daripada PAS.

Semalam (14 Mac 2022), Khairuddin mengumumkan pendiriannya keluar daripada PAS, berkuat kuasa serta-merta, dan akan menyerahkan semua elaun Ahli Parlimen kepada parti itu.

Menurutnya tindakannya itu selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan PAS iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri dengan ia sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen, pada jam 2.30 petang tadi. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berjata fiqh politik Islam mengajar beberapa amalan seperti baiah (bersetia), mu‘ahadah (berjanji), dan islah (berdamai) dengan kumpulan Islam secara khusus bagi mendapatkan jumlah anggota jemaah yang dituntut oleh amalan demokrasi dan mengukuhkan ikatan saf perjuangan Islam yang sama-sama diimani.

Katanya, PAS tidak menganggap jemaahnya sahaja yang berhak menegakkan Islam, malah apa yang penting adalah tidak memecahkan saf perjuangan Islam tersebut.

Pada masa yang sama, PAS katanya, menjalinkan hubungan dengan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membanyakkan sokongan kepada kebaikan bersama dalam kehidupan bermasyarakat majmuk.

“PAS yang berprinsip Islam mewajibkan supaya tidak berganjak dengan dasarnya yang termaktub dalam Perlembagaan PAS di bawah Majlis Syura Ulama (MSU).

“MSU diberikan kuasa untuk mempertahankan pelaksanaan Fasal 3 dan 7 bagi mengawal segala pendekatan dan strategi yang diberikan hak kepada Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat dan segala cabangnya supaya tidak terpesong,” katanya.

Menurut Abdul Hadi PAS tidak mengizinkan mana-mana pihak bagi merungkai dasar tersebut dengan akalnya yang cetek, jauh sekali merombak atau merobohkannya sama ada dari dalam ataupun anasir luar yang mahu merosakkan asas dan matlamat perjuangan PAS.

“Tidak diizinkan juga mencelarukan peranan MSU yang menjaga dasar dan prinsip, manakala AJK PAS Pusat yang mentadbir dan mengatur pengurusan dan strateginya.

“Bahkan, Fasal 26 (9)(m) Perlembagaan PAS juga menjelaskan antara tugas-tugas AJK PAS Pusat adalah pada amnya menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh Presiden serta melaksanakan apa saja usaha untuk kemajuan parti akan keutuhan umat Islam.

“Fasal 3 dan 7 itu ialah Islam menjadi aqidah perjuangan dan hukum tertingginya ialah Kitabullah (al-Quran), Sunnah Rasul, Ijma‘ Ulama’, dan Qiyas.

“Namun, tidak boleh berlawanan antara MSU dengan AJK PAS Pusat dan tidak boleh dilagakan oleh mana-mana pihak kerana diketahui sempadan masing-masing mengikut perlembagaan dan adab berjemaah yang ditarbiah. Sesiapa yang gagal dalam tarbiahnya, maka akan tersingkir atau disingkirkan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR