Siapa calon lain dalam UMNO idam kerusi PM selepas PRU-15?

UMNO sudah menamakan calon Perdana Menteri (PM) mereka selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti, bagaimanapun ia bukan jaminan yang mencukupi untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai pemimpin nombor satu di Putrajaya.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku selepas PRU-15 dan tidak mustahil juga PM yang baharu bakal dilantik walaupun UMNO sudah membuat pendirian dengan mengumumkan lebih awal calon yang dicadangkan untuk dilantik bagi jawatan tersebut.

Pencalonan yang dibuat UMNO hanya di atas kertas dan pada bila-bila masa nama tersebut boleh dipadam serta digantikan dengan nama yang baharu.

Untuk rekod, senario yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah contoh terbaik apabila calon ‘poster boy’ yang sepatutnya menjadi Menteri Besar (MB) tetapi sebaliknya digantikan dengan nama lain.

Realitinya, calon ‘poster boy’ yang diumumkan UMNO bukan jaminan ia akan menjadi kenyataan.

Walaupun sudah dinamakan sebagai calon PM, Ismail Sabri sebenarnya belum boleh terlalu ‘selesa’ kerana selain beliau masih terdapat beberapa pemimpin kanan dalam UMNO yang juga mengidamkan jawatan tersebut.

Daripada aspek lain, UMNO cuba menunjukkan keputusan yang dibuat Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) itu adalah bukti mereka sudah bersatu dan perpaduan sesama mereka semakin kuat tetapi realitinya masih ada individu lain juga turut mengidamkan jawatan PM tersebut.

Pada awalnya, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan juga dikatakan antara yang akan diketengahkan sebagai calon PM tetapi beberapa hari sebelum mesyuarat MT berlangsung baru-baru ini beliau terpalit pula dengan isu rasuah.

Malah, seorang pemimpin akar umbi UMNO bertindak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar tahun 2008 hingga 2010.

Laporan SPRM itu dibuat Ketua Penerangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, Datuk Halim Rahmat yang meminta SPRM menyiasat Mohamad berhubung dakwaan yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Ironinya, selang beberapa hari selepas itu UMNO bermesyuarat dan mengumumkan Ismail Sabri sebagai calon PM jika memenangi PRU-15 nanti dan nama Mohamad yang pada mulanya dikatakan antara calon PM tidak naik.

Mungkin bukan rezeki Mohamad, namun peluangnya belum tertutup kerana masih tetap akan dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen dan jika menang sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah pasti milik beliau atau mungkin PM, tuah manusia siapa yang tahu.

Selain Mohamad, seorang lagi yang dikatakan mengidam untuk menjadi PM adalah sepupu kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bekas Naib Presiden UMNO itu juga mahu mencuba nasib walaupun tidak berjawatan tinggi dalam parti, spekulasi kuat dalam parti mengatakan terdapat gerakan yang sedang berjalan bagi memastikan beliau diangkat menjadi PM selepas PRU-15 nanti.

Halangan Hishammuddin adalah bagaimana mencari jalan supaya UMNO juga mencadangkan namanya sebagai calon PM selepas menang PRU-15 nanti untuk dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terdapat kemungkinan Istana Negara akan meminta beberapa nama calon sebelum berkenan melantik PM baharu selepas PRU-15 nanti, senario sama berlaku sebelum ini semasa krisis politik dihadapi negara.

Untuk rekod, Hishammuddin juga mempunyai kem Ahli Parlimen UMNO tersendiri, malah difahamkan menyokongnya untuk menjadi PM sebelum kemudiaannya mengambil keputusan menyokong Ismail Sabri semasa krisis politik sebelum ini.

Mengambil kira pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku selepas PRU-15, seorang Ahli MT, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman antara yang terawal menggesa supaya perjanjian hitam putih dibuat berhubung persetujuan mencalonkan Ismail Sabri sebagai PM selepas PRU-15.

Tajuddin juga secara terbuka berkata bimbang sekiranya episod di Johor akan berulang, ia jelas menunjukkan terdapat individu lain dalam UMNO yang juga mengidam untuk menjadi PM selepas PRU-15 nanti.

Kesimpulannya, selepas PRU-15 nanti semua pemimpin dalam UMNO berhak untuk menjadi PM dan ia bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih calon yang mendapat perkenan layak untuk menjadi PM.

Sesiapapun dalam UMNO berhak untuk mencalonkan diri masing-masing menjadi PM, malah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak juga turut berhak.

BERITA BERKAIT
POPULAR