
Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin kalah kepada calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Ayer Molek, Mohd Rafee Ibrahim bagi jawatan ketua PKR cabang Hang Tuah Jaya.
Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin , yang juga naib presiden parti tewas mengejut di tangan Mohd Rafee Ibrahim dalam perebutan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, pada pemilihan kali ini.
Mohd Rafee yang juga pesara guru adalah calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Ayer Molek, pada Pilihan Raya Negeri (PRU) Melaka, Mac lalu.
Sementara itu, calon Timbalan Presiden Rafizi Ramli mengukuhkan kedudukannya apabila dilaporkan mendahului pencabar terdekat yang juga Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Melaka.
Keputusan awal menunjukkan Rafizi menyapu bersih undi di semua cabang dengan secara keseluruhan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu memenangi 2,427 undi berbanding Saifuddin 1,468 undi di negeri itu, menurut sumber parti.
Beberapa calon yang dikatakan menganggotai kem Rafizi juga dilaporkan menang.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa berkata pengundian telah selesai berikutan beberapa pemilihan semula di 12 bahagian di Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor dan Sabah.
Katanya, keputusan tidak rasmi akan disiarkan di laman web parti sepanjang hari ini.
“Keputusan yang dikeluarkan termasuk pertandingan di mana aduan dan bantahan telah didaftarkan dengan jawatankuasa pemilihan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Menurutnya keputusan rasmi akan diumumkan pada Kongres PKR akan diadakan pada 25 dan 26 Jun ini.