
Datuk Seri Shahidan Kassim antara pemimpin yang bersikap kritis terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Shahidan Kassim menyokong langkah pembersihan dalam bekas partinya, UMNO yang diwar-warkan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata Zahid perlu berani memecat kumpulan penentangnya tidak mengira pangkat dalam parti dan perlu dilaksanakan membabitkan semua peringkat ahli dalam parti termasuk kepimpinan tertinggi parti.
“Saya menyokong usaha ini… ia membolehkan kami (Perikatan Nasional) lebih mudah melawan UMNO apabila ramai pemimpin dan aktivis utama parti itu kini sudah dikeluarkan.
“Lihat saja tindakan mereka menyingkirkan nama-nama besar dalam parti seperti (Datuk Seri) Tajudin Abdul Rahman, (Tan Sri) Annuar Musa dan beberapa nama lain yang mana mereka itu pemimpin politik yang cukup hebat,” katanya dipetik laporan BH.
Untuk rekod, Shahidan antara pemimpin yang terawal digugurkan keahlian kerana didapati mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Semalam, Zahid memaklumkan pembersihan besar-besaran parti itu adalah antara perkara yang akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO sebagaimana dinyatakan dalam Perhimpunan Agung UMNO pertengahan bulan ini.
Shahidan berkata, Perikatan Nasional (PN) bersedia menerima pemimpin yang UMNO pecat itu.
“Lebih ramai pemimpinnya dipecat tidak ada masalah kita alukan mereka sertai PN atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perpaduan Ummah,” katanya lagi.
Media terdahulu melaporkan beberapa nama yang berdepan tindakan, antaranya bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan ahli MT, Tan Sri Noh Omar.