
Datuk Seri Shahidan Kassim adalah calon Perikatan Nasional, bukannya Barisan Nasional.
Setelah mengetepikan veteran politik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahidan Kassim daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pihak tertentu dipercayai penyokong parti itu mengedar risalah palsu mengatakan bekas Ahli Parlimen Arau itu adalah calon BN.
Untuk rekod, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen itu kini bertanding atas tiket Perikatan Nasional di Parlimen Arau, setelah digugurkan oleh BN.
Menyedari, taktik itu serta pengedaran risalah palsu beberapa jam sebelum hari pengundian esok (Sabtu, 19 November 2022) mengatakan beliau adalah calon BN, Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis, hari ini membuat laporan polis.
Risalah palsu yang turut tersebar dalam media sosial, mengajak orang ramai mengundi BN.
Wakil calon Perikatan Nasional Arau, Mohd Faizal Mohd Arif, berkata laporan polis dibuat kerana melihat edaran risalah itu sebagai tindakan yang boleh mengelirukan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.
“Pada mulanya saya menerima satu pesanan WhatsApps dalam satu group Arau yang memaklumkan terdapat beberapa risalah yang telah tersebar luas di kawasan Parlimen Arau.
“Pada risalah itu tertera yang kononnya Shahidan akan bertanding bagi Parlimen Arau atas tiket BN dan tertera marilah bersama-sama kita mengundi BN,” katanya.
Sementara itu memetik Bernama, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
Shahidan berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat sebenar melalui Facebook beliau.