
Kehadiran Datuk Seri Shahidan Kassim di segenap ceruk negeri Perlis sentiasa diiringi anak muda yang menyokong Perikatan Nasional.
Setelah Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi ‘Panglima Perang’ Perikatan Nasional untuk menggempur Perlis yang telah lama dikuasai BN, Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Azlan Man, menyifatkan veteran UMNO itu sebagai pengkhianat.
Apa lagi dalam keadaan ‘gelombang’ anak Perlis yang telah bertahun-tahun berada di bawah BN, kini sudah mula beralih angin memberi sokongan kepada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal menjelang 19 November ini.
Ditambah pula dengan pengalaman Shahidan selama lebih 30 tahun dalam dunia politik Perlis, dan kini menjadi ‘Panglima Perang’ Perikatan Nasional, tsunami besar akan menggoncang kedudukan UMNO dan BN di negeri itu.
Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan Shahidan daripada calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Arau, sebaliknya meletakkan orang luar bertanding di kerusi itu.
Susulan itu, Shahidan bertindak menutup semua bilik gerakan BN yang telah dibukanya sebagai persediaan menghadapi PRU-15, sebelum senarai nama calon diumumkan.
Terdahulu menurut laporan Utusan hari ini (10 November 2022) menyebut: “Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Azlan Man menyifatkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai pengkhianat kerana memilih meninggalkan parti dan bersama-sama Perikatan Nasional (PN).”
Pengerusi Perikatan Nasional Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata Shahidan akan melaksanakan tugasnya sebagai ‘panglima perang’ gabungan parti itu bagi membantu rakan-rakan lain membebaskan Perlis daripada genggaman BN.
“Kita (Perikatan Nasional) yakin dengan kemampuan beliau dapat membimbing gabungan jentera Perikatan Nasional. PAS Perlis akan memberi sokongan dan bantuan penuh kepada Shahidan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Shahidan sebagai perancang utama yang mampu membawa perubahan di Perlis yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat BN.
“Dengan bantuan Shahidan, saya yakin jentera parti gabungan PN akan lebih kukuh dan kebal kerana beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas sebagai panglima perang BN sebelum ini.
“Shahidan bukan hanya akan membantu dari sudut sokongan moral tetapi mungkin boleh membantu kita (PN) dari sudut lain seperti menyusun gerak kerja dan strategi,” katanya yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional Perlis.
“Sebelum ini saya orang yang bertanggungjawab menyusun strategi dari ‘A to Z’ bagi memastikan kemenangan BN di Perlis pada PRU-14 dan tidak mustahil saya dapat membantu Perikatan Nasional pula,” kata Shahidan.
Shahidan berkata beliau bukan hanya berkempen untuk Parlimen Arau sebaliknya akan membantu rakan-rakan dalam gabungan Perikatan Nasional yang lain.
Selain itu, beliau turut meletakkan sasaran untuk menawan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu empat yang terletak dalam Parlimen Arau dan masing-masing tiga kerusi DUN di Kangar dan Padang Besar.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyidin Yassin berkata beliau yakin gabungan itu mampu menawan Perlis pada PRU-15 berdasarkan gelombang sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi di negeri itu.