Shahidan bidas Zahid, tegaskan perlu sokong kerajaan PN sampai PRU

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim membidas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak memecahbelahkan parti dengan membuat keputusan yang boleh merosakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh UMNO.

Tegas Ahli Parlimen Arau itu, tindak tanduk Zahid kebelakangan ini juga tidak mencerminkan semangat kebersamaan UMNO di dalam kerajaan PN.

Katanya, perilaku Zahid kini condong ke arah menyokong blok pembangkang terutamanya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaaan sekarang adalah sebahagian daripada kita. Saya rasa kita patut bercakap bukan Anwar, sebagai kerajaan bersama, kita kena teruslah maklum kepada kerajaan sekarang dibuat (sidang Dewan Rakyat) dalam tempoh sekian-sekian tapi sebaliknya berlaku,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Beliau mengulas berhubung notis 14 hari yang dikeluarkan oleh Zahid bagi meminta kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut mengenai saranan membuka Parlimen, Shahidan berkata beliau bersetuju tetapi ia perlu mengikut tatacara undang-undang dan Perlembagaan sedia ada.

“Kerana ia perlu ada notis 28 hari dan dalam tempoh tersebut Parlimen boleh buat persediaan… tanya soalan, bawa usul dan sebagainya… jadi kita segera itu dengan mengikut peraturan kalau segera dengan tidak mengikut peraturan tidak bolehlah.

“Kita perlu elakkan daripada pertikaian mengenai undang-undang ini dan untuk Biro Politik UMNO keluarkan kenyataan bagi tempoh 14 hari (buka Parlimen) adalah tak tepat,” katanya.

Soalnya selepas 14 hari Parlimen tidak bersidang adakah UMNO akan menggugut kerajaan PN meskipun kebanyakan Menteri dan Timbalan Menteri adalah daripada UMNO,

“Selepas 14 hari Parlimen tak bersidang kita nak buat apa nak ugut keluar, padahal saya pegang kepada kerajaan sekarang dibentuk oleh Ahli Parlimen bukan oleh parti, kalau kerajaan sekarang dibentuk oleh Ahli Parlimen mereka perlu dibagitau lah,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan Zahid bahawa kerajaan PN perlu disokong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Kita dah nyatakan sebelum ini bahawa sokong kerajaan PN sampai PRU, kalau kita keluar (sekarang) salah… kena sokong kerajaan sampai PRU.

“Dan keputusan NO Anwar, NO DAP adalah sekarang tetapi untuk tidak bersama PN adalah masa PRU, ini bermakna pada masa ini UMNO kena bekerjasama dengan Bersatu, PAS, bukan bergaduh sekarang… apa untung,” katanya.

Justeru, beliau memohon semua pihak untuk menyatakan sokongan dan iltizam kepada kerajaan PN dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa yang UMNO dapat tak untung… jadi saya seru semua pihak agar rasional supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan PN ini jalan terbaik untuk selesaikan masalah kita.

“Tukar PM kita tak boleh selesai masalah, kita bagi peluang kepada PM untuk buat yang terbaik bukan tak puas hati tukar kerajaan apa yang kita dapat kerugian adalah,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR