
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Satu lagi parti pembangkang, Parti Warisan mengesahkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini tetapi juga secara solo.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu menjadikan PRN Johor sebagai medan pertama bagi parti tersebut melakukan ujian pemasaran untuk memperkenalkan partinya yang masuk ke Semenanjung, namun ia dijangka bakal mencetuskan lebih banyak undi terpecah.
Shafie semasa berucap pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Johor yang diadakan di Taman Sutera, Johor Bahru malam tadi juga tidak menyentuh mengenai kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang lain semasa PRN Johor kali ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan tidak ada salahnya jika kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.
“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi sebaliknya semua kaum.
“Jika pemimpin UMNO boleh datang dari Bagan Datoh, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah?” Soalnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong serta Koordinator Johor, Datuk Sunther Subramaniam dan Wong Siew Poh.
Tambahnya, Warisan bukan sahaja mahu bertanding PRN Johor dan tubuhkan kerajaan negeri, tetapi mahu tubuhkan kerajaan Malaysia supaya dapat bantu semua.
“Saya telah bekerjasama dengan semua pemimpin politik di negara ini, ketika bersama UMNO selama lebih 30 tahun, saya bekerja bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain.
“Kemudian enam tahun ketika bersama Pakatan Harapan (PH), saya juga telah bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, jadi saya tahu dan kenal mereka semua. Saya yakin Warisan adalah pilihan terbaik buat masyarakat negara ini dalam menubuhkan kerajaan yang akan membela mereka, kita mahu tubuhkan kerajaan,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.