Shafie bidas PH dakwa Warisan pecah undi pembangkang, biar rakyat tentukan

Dakwaan kononnya Parti Warisan hanya akan memecahkan undi pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disangkal Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal.

Shafie berkata blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) tidak wajar menjadikan parti pimpinannya itu sebagai punca undi pembangkang berpecah, sebaliknya menegaskan pengundi mempunyai hak untuk menentukan wakil yang akan mereka pilih pada PRN Johor nanti.

“Sejak bila undi milik mereka (PH)? Pengundi bukan milik parti. Pengundi bukan milik UMNO, Barisan Nasional (BN), DAP atau PKR.

“Kami bukan memecahkan undi. Rakyat akan memilih siapa yang mereka mahu undi. Jangan anggap mana-mana undi milik parti mereka sahaja. Rakyat Malaysia mempunyai hak mengundi sesiapa sahaja mereka mahu,” katanya semasa “walkabout” di Johor Jaya.

Terdahulu, tular satu klip video seorang calon PH yang membidas Parti Warisan hanya akan memecahkan undi pembangkang pada PRN Johor kerana langkah mereka meletak calon bertanding.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, walaupun Warisan tidak bertanding dalam PRN Melaka dan Sarawak, namun PH mengalami kekalahan teruk di kedua-dua PRN berkenaan.

“Ini jelas menunjukkan sebahagian rakyat tidak lagi bersama PH. Sebab itulah Warisan mengambil keputusan meletakkan calon di Johor,” katanya.

Shafie berkata, beliau berkempen untuk DAP dan PKR di Sabah serta Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), selain membantu calon PH dari parti PKR, Hassan Karim menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Shafie kemudian mengkritik PH kerana menjadikan BN lawan utama dalam PRN Johor, apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Putrajaya, September lalu.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau agak popular di Johor, mengambil kira beliau sebelum ini adalah Naib Presiden UMNO, dengan Johor adalah negeri yang banyak mengundinya ketika bersama parti itu.

Katanya, beberapa bekas ahli UMNO dan MCA juga menyertai Warisan.

Untuk rekod, Warisan meletak enam calon mereka pada PRN Johor kali ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR