
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Kecewa dengan tindakan beberapa wakil rakyatnya yang meninggalkan parti, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal, mendapat imbuhan untuk berbuat demikian.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu mendakwa Rina telah menandatangani ‘satu dokumen’ sebelum mengumumkan keluar daripada Warisan, hari ini.
“Saya difahamkan dia sudah sign (tandatangan), saya tidak tahu apa dokumen. Tidak tahu berapa dia dapat, tidak boleh dielak,” katanya menurut laporan Utusan. Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan ADUN Kukusan keluar parti.
Hari ini, Rina yang juga Naib Ketua Wirawati Warisan itu mengumumkan meletak semua jawatan di dalam parti bagi meneruskan perjuangan politiknya di bawah Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) iaitu parti yang mesra kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum ini, lima wakil rakyat Warisan bertindak keluar parti iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik); Datuk Dr Yusof Yaacob (Sindumin); Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi; Datuk Peter Anthony (Melalap); dan Datuk Nuil Juatim (Limbahau).
Selepas lima ADUN Warisan itu keluar parti, Warisan kini memiliki 17 kerusi di DUN dan blok pembangkang tinggal 26 kerusi manakala blok kerajaan termasuk ADUN Bebas dan ADUN Dilantik mempunyai 52 kerusi.
Mengulas lanjut, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata ADUN Kukusan itu akan turut dikenakan tindakan sama seperti ADUN Warisan lain yang keluar daripada parti sebelum ini.
Beliau berkata, sebahagian ADUN Warisan yang bertindak keluar parti sebelum ini telah dibawa ke mahkamah kerana perjanjian yang mereka tandatangani semasa menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Dia (Rina) tahu kita bertungkus lumus membantunya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman sanggup korban, tumbangkan kakaknya yang bertanding melawan Rina.
“Banyak pengorbanan dalam Warisan kerana ingin melihat perubahan berlaku di negara kita. Kalau kita hanya berlandaskan pendekatan yang sama daripada dahulu sampai sekarang, saya yakin Malaysia tidak akan dapat dilonjakkan.
“Di negara jiran perubahan kepimpinan yang berlaku membolehkan Indonesia menjadi negara contoh di rantau Asia, takkan kita tak boleh. Ini membabitkan persoalan tentang kepimpinan,” katanya.
Shafie berkata, sudah sampai masa dan ketikanya, rakyat di negara ini perlu sedar dan melakukan perubahan drastik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya yakin perubahan drastik yang berlaku mampu meletakkan negara Malaysia pada landasan yang betul dengan sistem reformasi yang ada,” katanya.