Setiausaha PAS Selangor kata syor Kit Siang mungkin cara komunis

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir menempelak pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri (TMP), jika Perdana Menteri (PM) datang daripada gabungan parti politik berbeza.

“Demokrasi versi mana pula yang Kit Siang cadang ni? Calon PM datang dari parti dan kelompok yang berbeza. Bila undi kalah tiba-tiba cadang yang nombor dua dilantik jadi TPM,” katanya.

Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai ‘ajaran sesat dalam demokrasi berparlimen’ beliau mengingatkan Kit Siang bahawa pemilihan PM bukan seperti pemilihan dalam parti.

“Mungkin itu amalan parti sosialis atau komunis tetapi dalam amalan demokrasi berparlimen kita tidak begitu, mustahil Kit Siang yang duduk berdekad-dekad dalam Parlimen tidak tahu,” katanya mengulas lanjut.

Hari ini de facto DAP itu mencadangkang pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ dan ketua pembangkang itu dilantik menjadi TPM, jika hanya dua calon yang ada untuk mengisi jawatan PM.

“Sekiranya hanya ada dua nama untuk jawatan Perdana Menteri, seorang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan seorang lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membentuk kabinet perang yang melibatkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan penularan wabak Covid-19 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa 18 bulan,” kata Kit Siang dalam kenyataan hari ini.

Cadangan Kit Siang itu muncul tatkala Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar gagal meraih sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen (MP) bagi membolehkan beliau dilantik mengetuai kerajaan baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Persaingan bagi mendapatkan sokongan bagaimanapun tamat jam 4 petang semalam, setelah semua MP mengutuskan Surat Akuan Berkanun (SD) masing-masing yang menyatakan sokongan kepada seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik ke jawatan Perdana Menteri, kepada Istana Negara.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada bekas TPM dalam Kabinet Muhyiddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menghadap baginda hari ini untuk pengesahan, sekali gus menandakan Ahli Parlimen Bera itu memperoleh sokongan lebih ramai MP berbanding Anwar.

Mengulas lanjut, Roslan Shahir mencadangkan Kit Siang menasihatkan pemimpin di dalam PH supaya bertenang dan terus menjadi anggota pembangkang yang bertanggungjawab.

“Memandangkan calon PH sudah kalah dan gagal mengemukakan strong, formidable and convincing numbers, sebagaimana beliau sebelum ini dakwa ada, Kit Siang perlu ajak anak-anak didiknya agar bertenang, terima kekalahan dan menjadi anggota pembangkang yang bertanggungjawab.

“Cukup-cukuplah berpolitik. Izinkan PM dan kerajaan baru ini menjalankan tugas mereka. Lets move on,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR