Setelah ‘menzalimi’ PN dan Muhyiddin, sekarang Zahid minta ‘nyawa’ pula

Setelah bermacam-macam usaha dilakukannya untuk menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, berjaya, Presiden ‘caretaker’ UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan dihentikan.

Selepas membawa keluar 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO daripada Kerajaan PN yang turut dianggotai Bersatu, PAS, MCA, MIC, SAPP, STAR dan Gerakan, serta disokong oleh GPS, Bebas dan PBS, Zahid kini merayu pula sokongan semua MP untuk membentuk sebuah kerajaan yang diistilahkannya mirip ‘War Cabinet’.

Apakah Zahid sudah lupa dia juga pernah dirayu supaya tidak membawa keluar 14 MP UMNO daripada kerajaan PN, dan kini dia pula membuat rayuan MP untuk mendapatkan sokongan membentuk kerajaan, kononnya demi kesejahteraan rakyat?

Mungkin terlupa bahawa kemelut politik yang berlaku sejak beberapa bulan lalu angkaranya dan beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Zahid dalam kenyataannya lewat malam tadi mengatakan negara telah menyaksikan kemelut politik yang meresahkan semua pihak.

Malah, Zahid berkata apa yang berlaku itu wajar dijadikan teladan selain mengajak semua pihak memandang ke hadapan dengan memberi tumpuan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Apa yang berlaku perlulah dijadikan teladan dan saya menyeru semua pihak untuk memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara tercinta ini,” katanya yang mungkin terlupa bahawa Kerajaan PN tidak pernah mengetepikan kesejahteraan rakyat dan negara, sebaliknya berusaha dengan menyediakan pelbagai pakej bantuan susulan kesan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan itu juga Zahid secara tidak langsung mengakui dia tidak layak menjadi Perdana Menteri apabila mengatakan tidak pernah terlintas untuk menduduki jawatan itu.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

“Justeru, UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon. Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-Ahli Parlimen,” rayunya lagi.

Bagaimanapun kenyataan bahawa dia tidak terlintas untuk menjadi Perdana Menteri berbeza dengan tindakan yang didakwa dilakukannya pada 2016 lalu apabila mengajak MP Barisan Nasional (BN) memberi tekanan supaya Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Zahid ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri, dan jika Najib meletak jawatan tiada orang lain yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri selain dia.

Zahid tidak pernah menafikan dakwaan di dalam surat yang tersebar itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR