
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng diingatkan soal asas penubuhan parti politik di negara ini yang berasaskan kaum sejak dulu.
Malah Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata orang kuat DAP itu tidak perlu melatah melihat parti lain memperjuangkan kaum masing-masing sedangkan dirinya sendiri turut mengamalkan politik perkauman.
“Ia boleh dibuktikan apabila MIC ditubuhkan kaum India, MCA bagi kaum Cina, UMNO untuk Melayu dan Pas untuk Islam.
“Asasnya memang begitu dan DAP pula parti cauvinis ekstremisme Cina. Pergi tengok deklarasi Setapak ketika DAP ditubuhkan pada 1969 dan itulah dia DAP.
“Jadi tak payahlah berpencak silat seolah-olah beliau tak praktikkan politik perkauman. Kita kenal beliau lama dah,” katanya lapor Sinar Harian, hari ini.
Semalam, Guan Eng menggesa rakyat Malaysia supaya membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi menamatkan politik pecah belah, pelampau dan perkaumannya.
Ketika diminta mengulas soal itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menempelak Guan Eng berhubung gesaan itu.
“Guan Eng kira nak buat laporan polis saja, sepatutnya kenyataan politik, selesaikanlah di medan politik dengan buat kenyataan balas.
“Itulah eksesais dan namanya politik. Kalau kita buat satu eksesais politik tapi beliau nak selesaikan hingga ke polis dan mahkamah, tak payah main politiklah,” katanya.
Pada Isnin, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka.
Kenyataan itu dibuat berkait sokongannya dan beberapa pemimpin PAS terhadap Proklamasi Orang Melayu yang dibawa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.