
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Tarikh pembubaran parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) perlu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukannya, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata ini kerana Ismail Sabri lebih mengetahui masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, meskipun beliau turut mempunyai jawatan tinggi dalam UMNO, menurut laporan Bernama.
“Kita serah pada Perdana Menteri (tarikh pembubaran Parlimen). Meskipun (saya) ada jawatan dalam parti tetapi pembubaran Parlimen seeloknya biarlah kita ajukan pada Perdana Menteri.
“Saya fikir dia tahu masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Peruncitan Mara : Halmart hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media yang mengatakan lima kepemimpinan tertinggi UMNO belum duduk berbincang tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 meskipun ketetapan itu dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac lepas.
Pada PAU sebelum ini, Ismail Sabri berkata, keputusan berkaitan cadangan membubarkan Parlimen akan dibincangkan dalam kalangan lima pimpinan tertinggi UMNO.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, berkata, ia juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.
Ketetapan agar lima pimpinan tertinggi UMNO membincangkan tarikh PRU-15 setelah pemimpin dan akar umbi parti itu mendesak agar ia diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Lima pimpinan tertinggi UMNO itu ialah Presiden parti, Zahid; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mahdzir dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.