Seorang pengundi positif Covid-19 dikesan di Alor Gajah

Satu kes pengundi positif Covid-19 pada hari pengundian dikesan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka hari ini di daerah Alor Gajah.

Dalam satu kenyataan, laporan berhubung kes tersebut diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah selepas menerima notifikasi dari Covid-19 Assessment Centre (CAC) Melekek.

“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi.

“Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi,” katanya kenyataan itu.

Sehubungan itu katanya, PKD Alor Gajah telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

Dalam masa yang sama, sanitasi telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba.

“SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baru sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baru.

”Pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur,” jelas beliau.

Seramai 112 calon bertanding dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BERITA BERKAIT
POPULAR