
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Tidak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan langkah menarik sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diumumkan Datuk Seri Bung Moktar Radin malam tadi.
ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya membidas tindakan Pengerusi UMNO Sabah itu yang mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan GRS dipimpin, Datuk Seri Hajiji Noor dan tidak menyokong gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri tersebut.
“Ya, saya tidak hadir sebab saya tidak menyokong gerakan yang dibuat oleh Datuk Bung dan juga rakan-rakan kerana saya berpendapat bahawa ini bukan masanya yang sesuai untuk kita mentidakstabilkan kerajaan ataupun menukar kerajaan,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Shahelmey yang juga Membangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata tiada keperluan untuk menukar kerajaan baharu kerana pentadbiran sekarang sudah menjalankan khidmat yang baik kepada rakyat negeri itu.
“Prestasi kerajaan Barisan Nasional – Gabungan Rakyat Sahah (BN-GRS) adalah agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini kerana dua tahun berturut-turut kerajaan negeri mempunyai peningkatan pendapatan daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan, berkata kerajaan BN-GRS juga berjaya menarik pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM33 bilion.
“Jadi kenapa kita hendak melakukan pertukaran kerajaan tanpa sebab yang konkrit, yang mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri tidak stabil.
“Ini akan menghindar pelabur atau mengurangkan keyakinan pelabur untuk datang melabur di negeri ini,” katanya.
Atas sebab itu, katanya beliau tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan Bung Moktar.
“Saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang. Ini bukan masa untuk bermain politik.
“Sekarang masa untuk bekerja, membangunkan ekonomi dan memajukan negeri ini,” katanya.
Mengenai tindakan terhadapnya kerana ingkar arahan parti, Shahelmey berkata beliau sudah bersedia menghadapinya selain menyifatkannya sebagai hak parti untuk mengambil tindakan.