Semoga menjadi kafarah dosa, Nik Abduh ucap tahniah kepada Najib

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Razak, sambil berharap apa yang berlaku menjadi penghapus kepada dosa.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata beliau mengikuti sejak lama dahulu perjuangan mereka yang mempertahankan diri di mahkamah, terutama orang politik, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Persamaan mereka adalah melawan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), lalu diheret. Perbezaan mereka pula, pertuduhan ke atas mereka tak sama. Letih dan calar ada sama, ada juga beza. DSAI lebih teruk.

“Semoga jadi kaffarah daripada dosa. Itulah yang utama dalam setiap musibah. Muslim tidak pernah rugi selama dia yakin pada ketentuan Allah untuknya,” katanya dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Semalam, Kerajaan Malaysia gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 milik Najib dan UMNO yang disita dari Pavilion Residences, milik Obyu Holdings Sdn Bhd.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pihak pendakwaan agar wang tunai bernilai jutaan ringgit itu dilucut hak kepada kerajaan.

Bagaimanapun Muhammad Jamil tidak mengarahkan wang itu dikembalikan kepada UMNO dan Najib, sebaliknya hakim berpendapat ia mesti dipulangkan di tempat ianya disita.

Memuat naik kenyataannya menerusi laman Facebook, Nik Abduh turut menggalakkan Najib untuk terus berjuang.

“Pada pagi Jumaat penuh berkat ini, saya ingin ucapkan tahniah kepada YB DSNR. Semoga Allah rahmati perjuangan Datuk Seri mempertahankan diri daripada segala pertuduhan di mahkamah.

“Jangan kecewa berjuang. Kecewa hanya untuk mereka yang melakukan kesalahan dan kekal di atasnya. Kelegaan dan kegembiraan adalah buat mereka yang bertaubat dan membaiki diri,” kata.

Pada 28 Julai tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Hukuman itu ditangguhkan selepas pihak pembelaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. Pada 18 Mei lalu, Mahkamah Rayuan selesai mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan, tetapi belum membuat keputusannya.

Najib, 67, turut dituduh di Mahkamah Tinggi atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya. Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan pada 7 Ogos ini bagi keputusan.

Bekas Perdana Menteri itu juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

BERITA BERKAIT
POPULAR