
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan pusat, tidak ada negeri pembangkang yang dipinggirkan daripada pembangunan tetapi sebaliknya berlaku semasa pentadbiran kerajaan campuran.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengimbau kembali semasa negara dilanda pandemik Covid-19 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, negeri Selangor antara yang sering mendapat perhatian walaupun diperintah pembangkang semasa itu.
“Saya cemburu dekat negeri Selangor ini, masa Datuk Seri Azmin (Ali) menjadi Menteri MITI (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), saya Menteri Besar, Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri dan kawan kita Amir (Datuk Seri Amirudin Shari).
“Bincang tentang langkah-langkah menangani wabak Covid-19 khusus untuk negeri Selangor, saya cemburu tuan-tuan… Kenapa tak bincang pasal Kedah juga? Walaupun negeri Selangor negeri pembangkang, tapi prihatinnya Perikatan Nasional dibawah Tan Sri Muhyiddin dan pemimpin PN yang lain, bincang khusus tentang negeri Selangor,” katanya semasa berucap dalam himpunan Jelajah Selangor Baharu malam tadi.
Menurut Sanusi, perbincangan tersebut berjalan banyak kali memandangkan Selangor terdapat pemain industri yang besar tetapi demi kepentingan negara perbezaan politik diketepikan PN semasa itu.
“Banyak kali, bukan sekali… Itu saya kata, mulianya pemimpin-pemimpin PN berbanding PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” ujarnya lagi.
Sanusi berkata sekiranya PMX mempunyai hati dan sikap sama, pastinya beliau akan membincangkan isu yang dihadapi Kedah kerana disekat pembangunan projek untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
“Kalau PMX ada hati macam Tan Sri Muhyiddin, tentu dia bincang kes Kedah (KXP),” katanya secara berseloroh.
Malangnya, Sanusi berkata pemimpin kerajaan campuran tidak sama dengan pemimpin PN, malah mereka hanya bersikap pendendam hanya mahu menghukum musuh politik.
“Mereka membara, sifat balas dendam… Membara menyala-nyala nak balas kepada orang lain,” katanya lagi.
Tegas Sanusi lagi, Selangor sepatutnya menerima pembangunan yang lebih pesat dan maju kerana lokasinya hampir dengan pusat pentadbiran utama negara, namun malangnya ia tidak dapat dibangunkan kerana diperintah sebuah kerajaan yang tidak berkemampuan.
“Selangor sepatutnya jauh lebih maju daripada apa yang ada sekarang ini, bukan sahaja pembangunan antara wilayah dan daerah-daerah dalam Selangor ini tidak seimbang.
“Selangor patut guna segala kekuatan dan peluang yang terhidang dengan adanya ibu negara, pusat segala pusat itu disini untuk membangun sepesat Kuala Lumpur,” katanya lagi.