“Selesaikan juga siasatan video Azmin di Sabah”

Kerajaan digesa menyelesaikan kes siasatan berhubung video seks mirip seorang Menteri Kanan yang tular pada 2019 dan menamatkan tanda tanya orang ramai berhubung isu tersebut, kata Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim.

Hassan mengulas kenyataan Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali semalam yang mengakui klip audio perbualan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini adalah tulen.

“Alang-alang hendak lakukan siasatan, maka sebagai seorang Ahli Parlimen, saya meminta kerajaan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Azmin selaku menteri kanannya – supaya menyiasat sekali isu klip video salah laku dua individu di dalam sebuah bilik hotel di Sabah yang jelas melakukan kesalahan jenayah seks songsang sama ada mengiku Kanun Keseksaan atau undang-undang syarie,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu lagi, salah seorang pelaku dalam video sudah mengakui perbuatan tersebut dan siasatan sepatutnya dihantar ke forensik untuk pemeriksaan ketulenannya.

“Seorang daripada pelakunya mengakui kesahihan video berkenaan, pihak berkuasa juga pernah mengakui video itu adalah sah, tulen dan benar namun gambarnya tidak jelas.

“Kes itu hendaklah disemak dan dihantar ke pihak forensik. Mungkin telah ada sekarang pihak yang boleh memeriksa dengan sejelas-jelasnya gambar dalam video itu,” katanya.

Hassan menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya menggalas tanggungjawab tersebut dan menyelesaikan juga siasatan kes video itu.

“Hamzah selaku menteri dalam negeri memikul tanggungjawab menyelesaikan siasatan kes video berkenaan.

“Tuntutan saya ini penting, selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan setiap warganegara Malaysia sama ada rakyat itu bernama Ahmad Zahid, Anwar ataupun individu-individu dalam video atas ranjang dalam bilik hotel di Sabah itu,” ujarnya lagi.

Pada 12 Jun 2019, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks tular, sekali gus menamakan Azmin sebagai pasangannya.

Ia bagaimanapun dinafikan oleh bekas timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pada Jan tahun lepas, Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak akan membuat pendakwaan berhubung kes tersebut kerana gagal mengenal pasti individu terbabit dalam video berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR