Selepas tular klip audio, PH tetap calonkan Anwar sebagai PM

Pemimpin Pakatan Harapan di Port Dickson.

Pakatan Harapan (PH) masih meletak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan tersebut walaupun baru-baru ini terpalit dengan kontroversi klip audio perbualan mesra dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Pemukiman Pimpinan PH dan menamakan Anwar sebagai ketua yang akan mengepalai gabungan blok pembangkang tersebut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

“Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Blok pembangkang tersebut sepakat untuk mendesak supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuka sidang Parlimen dan menamatkan pengisytiharan darurat.

“Kami mendesak Perdana Menteri untuk segera menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan senafas dengan itu menamatkan Darurat,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut juga menyatakan keterbukaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, bagaimanapun tidak menamakan spesifik parti yang dimaksudkan walaupun timbul khabar angin kemungkinan ia melibatkan kerjasama dengan UMNO dalam jajaran politik baharu yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Baru-baru ini, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan mereka saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.

Zahid dan Anwar kini sedang berdepan tekanan susulan penularan klip audio tersebut, mereka berdua juga pada awalnya mahu melaporkan kepada polis untuk menyiasat dalang penularan klip tersebut bagaimanapun pihak berkuasa berkata masih belum menerima sebarang laporan setakat ini.

POPULAR