Selepas sayap UMNO gesa PRU, PM kata puas hati pembahas beri cadangan baik

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berpuas hati dengan perjalanan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang disifatkannya berjalan lancar, ia walaupun dua sayap UMNO, Puteri dan Pemuda senada mencadangkan agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan.

Naib Presiden UMNO itu yang sempat meluangkan masa di sebalik jadual padat dengan meninjau perjalanan mesyuarat ketiga-tiga sayap itu, berkata pembahas telah mengemukakan pelbagai cadangan yang baik demi masa depan parti, menurut laporan Bernama.

“Saya sempat meninjau persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri dan Alhamdulillah, saya lihat perjalanan mesyuarat berjalan dengan lancar.

“Saya dapat mendengar pembahas daripada tiga sayap dan juga tulang belakang (UMNO) iaitu Wanita dan pembahas dapat membahaskan dengan baik dan memberikan cadangan yang baik demi masa depan parti,” katanya semasa ditemui media di PWTC pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perjalanan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung sepenuhnya secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri tiba pada pukul 10.56 pagi menerima tepukan gemuruh para perwakilan daripada ketiga-tiga sayap UMNO semasa melakukan tinjauan, malah terdapat juga perwakilan yang sedia menantinya untuk berswafoto.

Semalam, perhimpunan agung sayap itu dirasmikan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Untuk rekod, awal pagi ini Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan dan Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki semasa ucapan dasar dilihat senada apabila menyuarakan cadangan agar PRU-15 disegerakan atas alasan pembangkang kini sedang lemah dan mereka perlu mengambil kesempatan tersebut sebaiknya.

BERITA BERKAIT
POPULAR