
Perikatan Nasional.
Tindakan undang-undang termasuk menyaman individu yang membuat tuduhan dalam isu dana judi sedang dipertimbangkan Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata langkah seterusnya akan dibincangkan dengan peguam bagi menyaman individu yang membuat tuduhan, ia selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada bukti perkara itu berlaku.
“Kita akan bincang dengan peguam, apa langkah yang kita akan ambil terhadap kenyataan-kenyataan yang telah dibuat (terhadap PN),” katanya kepada pemberita di Mahkamah Kuala Lumpur.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hasil siasatan SPRM yang mendapati tiada bukti parti-parti dalam PN menerima sumbangan daripada dana syarikat judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Pada Disember lepas, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan bahawa sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM menjalankan kajian terperinci mengenai dakwaan itu dan mendapati maklumat yang diterima terlalu umum serta tiada pihak boleh mengesahkannya.
“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” kata Azalina dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Kata Muhyiddin hari ini, kenyataan Azalina itu menunjukkan dakwaan yang dibuat terhadap PN sebelum ini merupakan fitnah dan pembohongan.
“Ini satu fitnah dan pertuduhan berat, Mungkin yang penting, (tindakan) yang pertama, akan tuntut (permohonan) maaf,” katanya lagi.