
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mencabar Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam pemilihan PKR bagi jawatan Ketua Cabang Gombak.
Susulan kemenangan dalam pemilihan PKR yang diumumkan semalam, Datuk Seri Amirudin Shari menerima ucapan tahniah daripada bekas bosnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berbangga dengan kemenangan Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor selepas dipilih sebagai Ketua Cabang Gombak menewaskan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Selain itu, Amirudin juga berjaya mendapat jumlah undi yang mencukupi untuk menjadi Naib Presiden PKR yang baharu.
Amirudin memperoleh 1,858 undi iaitu 351 undi secara fizikal dan 1,507 undi secara dalam talian manakala pencabarnya, Farhash sekadar memperoleh 1,215 undi ( 679 undian secara fizikal dan 536 undian dalam talian).
Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau berharap agar persefahaman akan terus membawa ke arah kebaikan.
“Tahniah Amirudin kerana terpilih. Semoga persefahaman akan terus membawa kebaikan,” katanya dalam ciapan Twitter.
Pada Ahad, Amirudin mempertahankan kerusi Ketua Cabang Gombak pada Pemilihan PKR 2022 selepas menewaskan pencabar, Farhash.
Keputusan itu menyaksikan Amirudin menang selesa dengan majoriti 643 undi sementara Timbalan Ketua Cabang Gombak milik A Rahim Ahmad Kasdi menewaskan dua pencabar lain.