Selepas nama tak dicalon UMNO, NGO desak Najib dilantik PM interim

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu Datuk Seri Najib dilantik sebagai Perdana Menteri interim selepas UMNO tidak mencalonkan namanya untuk dipertimbangkan kepada Istana Negara.

Kumpulan NGO tersebut, Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia tersebut bukan sahaja mencalonkan nama Najib tetapi juga memohon diberikan pengampunan Diraja kepada bekas Perdana Menteri tersebut yang berdepan banyak pertuduhan di mahkamah.

Difahamkan NGO tersebut akan menyembah maklum permohonan pengampunan Diraja ke atas Najib kepada pihak Istana Negara pagi tadi dan menjemput pengamal media untuk membuat liputan berhubung langkah tersebut.

Pengerusinya Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz berkata tindakan tersebut bertujuan untuk menyelamatkan negara yang sedang berdepan krisis politik dan mempunyai pengalaman memimpin negara.

“Ini peluang untuk selamatkan Malaysia,” katanya dipetik sebuah portal.

Tindakan UMNO yang tidak mencalonkan Najib sebagai calon Perdana Menteri menyebabkan kumpulan itu bertindak mengambil inisiatif sendiri.

Najib sebelum ini didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta daripada syarikat kerajaan SRC International Sdn Bhd.

Najib merayu terhadap sabitan itu di Mahkamah Persekutuan.

Najib juga berdepan perbicaraan lain melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pertuduhan meminda laporan audit berkaitan 1MDB selain tuntutan cukai RM1.69 billion daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

14 MP UMNO termasuk Najib diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang bersama blok pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.

Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki majoriti Parlimen.

Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR