
Datuk Mohd Puad Zarkashi disaman kerana membuat fitnah.
Ekoran keputusan mahkamah tidak memihak kepada Datuk Seri Najib Razak, seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO kini mencadangkan supaya parti itu membatalkan keputusan meletak “poster boy” mereka pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Ahli MT, Datuk Puad Zarkashi berkata parti itu tidak lagi memerlukan “poster boy” kerana tidak relevan dan meminta parti membatalkan keputusan sebelum ini yang dibuat parti tanpa menamakan individu yang dimaksudkannya itu.
“Ia boleh jadi bola tanggung, ‘punching bag’ atau senjata makan tuan.
“Walaupun sudah ada keputusan, tetapi kalau sudah jadi liabiliti, elok batalkan sahaja ‘poster boy’. Manusia bernyawa mudah difitnah jika jadi ‘poster boy’,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.
Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata adalah lebih baik menggunakan logo Barisan Nasional (BN) sebagai “poster boy” sebagai pengganti calon sebelum ini atas alasan ia tidak bernyawa dan sukar difitnah.
“Poster boy tidak boleh mereka yang ‘over’ perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada April lalu, UMNO mengumumkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ mereka yang juga calon Perdana Menteri (PM) selepas PRU-15 nanti.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.