Selepas klip audio, senarai kabinet bayangan Anwar-Zahid pula didedah

Kabinet bayangan Anwar-Zahid

Spekulasi berhubung kabinet bayangan yang akan dibentuk hasil pakatan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didedahkan oleh sebuah portal berbahasa Inggeris, dua hari selepas tular klip audio kedua-dua pemimpin itu.

Portal The Coverage semalam menyenaraikan lengkap jawatan dan nama-nama pemimpin PKR, UMNO, DAP dan Amanah yang akan dilantik untuk berada dalam kabinet yang akan diketuai oleh Anwar sebagai perdana menteri.

Zahid pula dinamakan sebagai timbalan perdana menteri dalam senarai tersebut, sementara bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pula sebagai Menteri Kewangan 1.

Bagaimanapun, portal The Coverage tidak menamakan sumber yang diperoleh mereka dalam laporan tersebut.

Turut tersenarai dalam senarai tersebut dua Ahli Parlimen UMNO yang sebelum menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz.

Anak Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga tersenarai dalam barisan kabinet memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun, tidak ada pemimpin parti dari Sabah dan Sarawak yang tersenarai dalam barisan kabinet Anwar-Zahid tersebut.

Jumlah keseluruhan menteri dalam kabinet cadangan tersebut adalah sebanyak 30 orang termasuk jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Baru-baru ini, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan mereka saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.

Zahid dan Anwar kini sedang berdepan tekanan susulan penularan klip audio tersebut, mereka berdua juga pada awalnya mahu melaporkan kepada polis untuk menyiasat dalang penularan klip tersebut bagaimanapun pihak berkuasa berkata masih belum menerima sebarang laporan setakat ini.

POPULAR