
Anwar dan Zahid bergandingan membentuk kerajaan campuran.
Kebebasan badan kehakiman akan sentiasa dipertahankan kerajaan campuran, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan terbaharu Perdana Menteri itu hadir berikutan kritikan oleh banyak pihak selepas perbicaraan kes rasuah anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dihentikan oleh pihak pendakwaan secara tiba-tiba walaupun sudah terdapat prima facie di peringkat mahkamah.
“Hari ini, dan sejak kebelakangan ini, kita mendengar rungutan yang membingungkan – tidak semestinya mencerminkan (suara) majoriti – bahawa cabang eksekutif organ-organ negara melakukan penipuan yang sama, mengganggu proses yang wajar dan menjadikan badan kehakiman sebagai senjata.
“Tiada sekelumit kebenaran pun dalam dakwaan keji ini, yang kini diulang-ulang di media sosial,” kata Anwar dipetik laporan MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Persatuan Undang-Undang ASEAN ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN (ALA) 2023 hari ini.
Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon selaku Presiden ALA, ketua hakim, peguam negara serta pengamal undang-undang dari negara ASEAN.
Anwar berkata, kedaulatan undang-undang menjamin bahawa kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut Perlembagaan.
Ia berasaskan prinsip bahawa kerajaan dan mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakan dengan sikap telus dan terbuka.
“Bercakap mengenainya, dengan risiko kedengaran seperti ‘rekod yang rosak’ izinkan saya sekali lagi menggariskan kepentingan utama sebuah badan kehakiman yang bebas, tidak berat sebelah dan berwibawa.
“Sebagai benteng keadilan itu sendiri, badan kehakiman sebegitu adalah sine qua non kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.
Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Beliau diberikan penghakiman melepas tanpa membebaskan (DNAA) pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.