
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching.
Susulan kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa ahli UMNO menyokong DAP, hari ini pemimpin DAP pula menyokong ahlinya untuk menyokong UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan parti itu, Teo Nie Ching berkata semua ahli-ahli DAP perlu memberi sokongan kepada UMNO pada PRN akan datang kerana mereka sudah menjadi rakan politik dalam kerajaan campuran sekarang.
Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik sama ada peringkat pusat mahupun negeri dan penyokong DAP perlu mengetepikan sebarang perbezaan yang mungkin wujud sebelum ini sebaliknya melihat kepada masa depan lebih baik.
“Sekarang kami duduk dalam kerajaan perpaduan, jadi, semua parti politik kerajaan yang bertanding dalam PRN akan datang perlu menang untuk pastikan kestabilan kerajaan perpaduan.
“DAP sudah pasti mahu memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dan kami juga berharap rakan komponen seperti PKR, Amanah dan juga UMNO turut menang di kawasan mereka.
“Mandat daripada rakyat adalah penting, jadi, sekiranya semua parti politik dalam kerajaan perpaduan boleh menang dengan besar, ini adalah satu tanda bahawa rakyat jelata yakin dengan kemampuan dan pencapaian kami,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Nie Ching yang juga naib ketua DAP Johor sehubungan itu meminta sokongan diberi kepada calon-calon UMNO dalam PRN akan datang bagi mengelak kemenangan kepada pembangkang.
“Pendekatan kita kekal untuk mendekati pengundi berbilang kaum, buktinya adalah bahan publisiti yang dikeluarkan dibuat dalam pelbagai bahasa iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan juga Tamil.
“Kita tidak akan menyerahkan usaha menarik pengundi kepada pihak lain walaupun kita akui sokongan masyarakat Melayu terhadap DAP sedikit kurang, namun, itu tidak halang kita dekati masyarakat Melayu,” katanya.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Mat Maslan Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.