Selepas Ismail Sabri dilantik TPM, MT UMNO tarik sokongan terhadap kerajaan PN

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak kini mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mendesak supaya Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin berundur, ia walaupun selepas Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri baharu dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi alasan kerajaan gagal memenuhi tujuh syarat yang digariskan UMNO, justeru MT UMNO sebulat suara menarik balik sokongan serta-merta terhadap pentadbiran Muhyiddin.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada 7 kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.

“Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” katanya dalam perutusan di Facebook malam tadi.

Terdahulu, Zahid mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO yang berlangsung hampir lima jam bermula 8.30 malam tadi.

Menurut Zahid, tujuh kegagalan yang digariskan oleh MT UMNO antaranya berhubung isu pengurusan Covid-19, proklamasi Darurat, isu pembukaan sidang Parlimen dan mendakwa kerajaan gagal menjaga kebajikan rakyat sepanjang penularan pandemik Covid-19.

Gesa Zahid lagi tanpa menamakan calon PM yang baharu akan disokong UMNO nanti, beliau perlu memastikan isu berhubung pengurusan kebajikan rakyat sepanjang pandemik Covid-19 ditangani secara secara inklusif.

“Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan,” ujarnya.

Kemudiaan menurut Zahid, apabila mencapai imunisasi berkelompok, PM baharu harus segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan segera.

“Ini penting bagi membolehkan sebuah Kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dalam kenyataannya lagi, Zahid juga mengulangi pendirian UMNO untuk menolak sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau pun menjalin kerjasama dengan DAP.

“Mesyuarat MT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan,” ujarnya.

Terdahulu sebelum mesyuarat MT UMNO malam ini, spekulasi diluar mengatakan Zahid dijangka membuat keputusan untuk membawa parti bertindak keluar daripada kerajaan PN.

Sebelum itu juga, Muhyiddin turut memaklumkan, Ismail Sabri dilantik sebagai TPM manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik menjadi Menteri Kanan Luar Negeri dan mengetuai Kluster Keselamatan.

POPULAR