
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
PKR dilaporkan sedang berunding semula dengan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) baharu selepas kem UMNO diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menipu Ketua Pembangkang itu.
Rundingan tersebut diketuai seorang wakil Ahli Parlimen (MP) PKR yang cuba memujuk kem Azmin yang sebelum ini meninggalkan parti itu untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Azmin dan beberapa MP yang bersamanya enggan menerima tawaran tersebut yang difahamkan berlangsung minggu lalu.
Sumber PKR mendedahkan, wakil PKR tersebut ditugaskan berhubung dengan bekas ahli-ahli Parlimen PKR yang menyokong Langkah Sheraton tahun lalu sehingga menyebabkan Pakatan Harapan (PH) tumbang dari pentadbiran kerajaan.
“Bagaimanapun, tawaran yang dibuat wakil PKR tersebut ditolak kerana tidak sehaluan dengan Presiden PKR, Anwar… Ia melibatkan cara pengurusan parti tersebut yang dilihat tidak mempunyai hala tuju,” kata sumber itu.
Perkembangan terkini ini mungkin berlaku selepas Zahid kini tidak lagi menyokong Anwar, ia juga dapat disahkan dengan sumpah yang didedahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Anwar juga kini terpaksa merayu sokongan daripada Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal, ia menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengharapkan mereka dapat duduk di meja rundingan.
UMNO kini sedang berunding dengan Bersatu dan PAS untuk menerima calon PM mereka iaitu Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kemungkinan besar, Bersatu dan PAS akan bersetuju dengan pencalonan tersebut.