Selepas diterima jadi ahli UMNO, Lokman didakwa dua pertuduhan

Baharu sahaja diterima menjadi ahli UMNO semula, Datuk Lokman Noor Adam hari ini didakwa di Mahkamah Siber bagi dua pertuduhan susulan kenyataan fitnahnya sebelum ini.

Lokman yang juga pengikut setia bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak itu berdepan pertuduhan bawah Ordinan Darurat susulan kenyataannya berhubung kematian anggota polis dan kemasukkan warga India ke dalam negara yang kononnya menjadi punca penularan Covid-19.

Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua, Lokman didakwa menggunakan aplikasi Facebook profil ‘Lokman Adam’ dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam telah menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual berhubung kematian seorang pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner yang dikaitkan dengan vaksin dan kemasukan warga India di negara ini yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.

Kedua-dua rakaman audio visual itu masing-masing dibuat pada 9 April dan 3 Mei 2021 antara pukul 10.38 malam dan 10.55 malam yang kemudian kedua-dua rakaman itu dilihat pada 11 April dan 9 Mei 2021 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Bukit Aman Kuala Lumpur.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu)(No.2 ) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap satu pertuduhan yang mana kedua-dua jumlah ikat jamin itu RM60,000.

Bagaimanapun peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan 11 orang anak dan isteri.

Bagaimanapun, Lokman dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 untuk setiap pertuduhan.

BERITA BERKAIT
POPULAR