Selepas dibidas pemimpin PKR, MUDA Kedah turunkan poster rasuah kecam PH

Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kedah menurunkan poster anti-rasuah yang mengecam blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dimuat naik dalam akaun Facebooknya selepas dibidas pemimpin PKR berhubung hantara tersebut.

Selain itu, MUDA juga menggantung jentera penerangannya di Kedah susulan penyiaran poster yang menggambarkan pemimpin pelbagai parti, termasuk PH, terlibat dengan rasuah.

“Sebagai langkah ke hadapan, saya telah mengambil keputusan untuk menggantung Penerangan Muda Kedah dari sebarang aktiviti berkaitan Muda,” kata Ketua Penerangannya, Luqman Long.

MUDA Kedah dalam hantaran Facebook mereka menyiarkan gambar antirasuah dengan logo PH, PKR, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ia menggambarkan parti-parti itu saling bertukar dokumen dan wang di belakang.

Poster itu bagaimanapun kemudian dipadam.

Poster itu mencetuskan perhatian meluas kerana ia dibuat selepas parti-parti PH baru sahaja memberi laluan kepada MUDA di sembilan kerusi pada Pilihan Raya Johor yang akan berlangsung 12 Mac nanti.

Dalam itu lagi, Luqman mengakui tindakan itu menimbulkan salah faham kepada orang ramai serta tidak mematuhi sebarang prinsip yang jelas dalam Muda.

Katanya, status itu juga tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.

Mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu, Luqman justeru memohon maaf dan bersedia berdepan keputusan dan tindakan disiplin daripada parti.

“Yang baik itu datang dari Tuhan. Yang khilaf itu dari saya,” katanya.

Susulan hantaran tersebut, seorang wakil rakyat PKR, Tan Kar Hing membidas MUDA sebagai tidak beradab dengan membuat tuduhan sedemikian.

“Politik baru my foot,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai sebagai reaksi balas terhadap kenyataan MUDA Kedah itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR