Selepas BN umum calon, akar umbi mula protes sampai tutup PDM

Protes dikalangan penyokong peringkat akar umbi mula tercetus selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan barisan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sehingga sudah ada Pusat Daerah Mengundi sudah ditutup sebelum penamaan calon pada Isnin ini.

Terdapat segelintir penyokong BN yang tidak berpuas hati dengan senarai yang diumumkan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, difahamkan penyokong Ketua UMNO Bahagian (KB) yang tidak tercalon juga kurang senang apabila terdapat pemimpin lama yang disingkirkan.

Buat kali pertama peratusan muka baharu calon BN kali ini jauh lebih tinggi, berbanding penyandang iaitu sebanyak 86 peratus, malah majoritinya membuat penampilan buat kali pertama.

Dalam PRN kali ini, sebanyak 20 calon akan diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

Terbaharu, laporan Utusan Malaysia di Melaka mendakwa sebanyak sembilan PDM BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban sudah ditutup.

PDM yang ditutup mulai Jumaat ialah Pondok Kempas, Kesang Tua, Seri Bemban, Tehel, Taman Maju, Air Panas, Air Kangkong, Air Barok dan Kesang Jaya.

Penutupan tersebut sudah pasti menjejaskan persiapan BN untuk merampas kembali kerusi itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Hasil tinjauan media tersebut mendapati, kerja-kerja mengemas kerusi, meja termasuk semua bendera BN turut diturunkan oleh petugas UMNO cawangan di situ.

Difahamkan, penutupan sembilan PDM berpunca daripada perasaan kecewa apabila kerusi itu ditandingi oleh MCA.

DUN Bemban bakal ditandingi Datuk Koh Chin Han yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada calon DAP, Datuk Dr. Wong Port Pin.

Sementara itu, bekas penyandang kerusi DUN Rim, Ghazale Muhamad mengakui terdapat protes akar umbi selepas pengumuman senarai calon BN, namun penjelasan sudah diberikan bagi meredakan keadaan.

“Sesiapa nama mereka yang tidak tercalon memang kecewa tetapi tidak sampai simpan dalam hati. Sekarang apa yang penting kita bekerja bersama-sama menguatkan jentera kempen parti.

“Segala rasa keluh kesah dan tidak puas hati kita tolak tepi. Saya yakin rasa kecil hati ini akan hilang sedikit demi sedikit nanti,” katanya dipetik laporan Melaka Hari Ini (MHI).

Ghazale turut mengakui kecewa kerana tidak terpilih namun akur dengan keputusan parti yang mahu meletakkan muka baharu. Beliau memberi jaminan akan bekerja dan membantu jentera BN bagi memenangkan calonnya.

Ghazale antara 24 penyandang kerusi DUN negeri yang tidak bertanding semula pada PRN 20 Nov, bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu.
\
Tujuh penyandang ADUN tidak dinamakan semula dan digantikan dengan calon baharu iaitu di DUN Tanjung Bidara, Ayer Limau, Asahan, Rim, Merlimau, Taboh Naning serta Sungai Rambai.

Calon di DUN Sungai Udang dan Pantai Kundor juga menampilkan calon muka baharu, selepas penyandang asal keluar parti.

Malah, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berada di Jerman juga sedar terhadap protes yang sedang berlaku dan terpaksa meredakan keadaan dengan memberi tawaran penyandang yang tidak tercalon mungkin akan diberi tawaran lebih baik selepas ini.

Zahid berkata ia termasuk menampilkan semula mereka sebagai calon bagi kerusi Parlimen dalam PRU-15.

“Kepada mereka yang tidak dicalonkan, Insya-Allah mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada PRU nanti,” kata Zahid.

Protes akar umbi atau sabotaj dalaman parti dijangka bakal mengurangkan peluang BN untuk menang PRN Melaka memandangkan gabungan itu masuk bertanding secara solo dengan berdepan pertembungan banyak penjuru dengan PAS dan Bersatu.

BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing masuk bertanding dalam PRN Melaka secara berasingan walaupun mempunyai kerjasama di peringkat kerajaan pusat.

BERITA BERKAIT
POPULAR