
Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selepas gagal mendapat sokongan untuk melantik Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, UMNO menukar calon baharu dengan menamakan Ahli Parlimen (MP) Cameron Highlands sebagai calon bagi jawatan tersebut.
Setiausaha Agung UMNO itu sebelum ini dicalonkan sebagai Timbalan Speaker namun pihak kerajaan menarik semula keputusan tersebut selepas tidak mendapat sokongan majoriti MP kerana terpalit dengan kes mahkamah.
Pengumuman pencalonan Ramli Mohd Nor itu dibuat Ahmad dalam satu hantaran Facebooknya hari ini dan mendapat persetujuan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“YB Ramli Mohd Nor dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” kata Ahmad yang juga MP Pontian itu.
Terdahulu, Ahmad membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta terhadap dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas PM, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Susulan itu, kes mahkamah yang dihadapi Ahmad juga digugurkan.
Untuk rekod, kerajaan perlu mencalonkan nama Timbalan Speaker kedua bagi menggantikan MP Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan sebelum ini.
Kerajaan sebelum ini mencalonkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker, sementara pembangkang menamakan MP DAP, Nga Kor Ming sebagai calon mereka.
Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan depan.
Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.