
UMNO dan DAP bekerjasama dalam enam Pilihan Raya Negeri yang dijangka diadakan pada Julai atau Ogos tahun ini.
DAP – parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan bekerjasama dengan UMNO pada pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi – mahu memonopoli semua kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada masa sama, di beberapa negeri, seperti Selangor, parti itu mungkin menambah bilangan kerusi yang mereka tandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangkakan Julai atau Ogos depan.
Mengambil contoh di Selangor, DAP mahu mengekalkan 16 kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU-14 dalam PRN akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata 16 kerusi berkenaan adalah jumlah minimum dan bilangannya mungkin bertambah dalam PRN nanti.
“16 kerusi ini adalah kerusi yang disandang… sebab itu saya meletakkan sasaran minimum sebanyak 16 kerusi untuk DAP bertanding pada PRN Selangor kali ini.
“Mungkin kita akan tambah kerusi kalau Menteri Besar beri sebab itu saya cakap (16 kerusi) itu minima,” katanya berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Selangor 2023 di Klang, hari ini (Ahad, 26 Mac 2023).
Parti komponen PH yang lain ialah AMANAH dan PKR, manakala UMNO kini mempunyai hanya lima kerusi DUN di Selangor.
Enam negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – akan mengadakan PRN peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), setelah tidak menyertai PRU-15 pada 19 November 2022 lalu.
Dalam PRN enam negeri itu sebanyak 245 kerusi DUN akan dipertandingkan iaitu 56 kerusi di Selangor; Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi; dan Terengganu (32).
Berhubung pembahagian kerusi, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata rundingan masih berjalan dari semasa ke semasa, termasuk dengan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO.
Anggota komponen BN lain adalah MCA dan MIC, namun kedua-dua parti terbabit semakin ditolak pengundi Cina dan India.
Agenda Daily hari ini melaporkan UMNO mempunyai senjata bagi menekan parti komponen PH supaya pembahagian kerusi DUN dilakukan sama rata atau dalam nisbah 40:60 (UMNO 40 peratus, komponen PH 60 peratus).
Menurutnya nisbah 40:60 itu akan melibatkan tiga parti iaitu UMNO, PKR dan AMANAH, manakala usaha juga dilakukan untuk meletak calon MCA serta MIC di kerusi tertentu, tetapi memerlukan kerjasama DAP.
PRN: UMNO ada senjata tekan parti komponen PH beri kerusi sama rata