Sekarang ramai divaksin, SOP PRN Melaka patutnya longgar: Ahmad Maslan

Sepatutnya prosedur operasi standard (SOP) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilonggarkan memandangkan sudah ramai rakyat yang divaksin, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu  mempertikaikan larangan terbaharu diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana vaksin Covid-19 sudah banyak diberikan kepada orang ramai dan memberikan dua contoh Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini diadakan dengan syarat yang lebih longgar walaupun ketika itu belum memiliki vaksin.

“Apa yang kita harapkan ialah SOP sebagaimana PRK DUN (Dewan Undangan Negeri) Chini dan PRK DUN Slim mungkin boleh digunakan.

“Pada ketika dua PRK itu belum ada seorang pun divaksinkan sekarang ini sudah 95 peratus penduduk dewasa divaksinkan 79 peratus rakyat Malaysia divaksinasi,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi.

Jelasnya lagi, UMNO semasa mesyuarat malam tadi juga berbincang dengan menggesa supaya sedikit kelonggaran pergerakan diberikan kepada jentera parti yang akan turun berkempen.

“Kita juga ada membincangkan dalam majlis ini yang kita tak buat dalam kenyataan media ini supaya ada kelonggaran sedikit kepada SOP PRN Melaka supaya sedikit pergerakan boleh dibenarkan.

“Contohnya mungkin rumah ke rumah dengan bilangan yang terhad, berada dalam bilik gerakan dalam bilangan yang terhad untuk menyediakan perkara-perkara sebaran serta hebahan kempen misalnya,” katanya lagi.

Dalam sidang media sama juga, Ahmad turut mengulas berhubung kompaun RM10,000 yang dikenakan terhadap penganjuran program pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) yang diadakan di PWTC dengan menyifatkan ia tindakan tidak adil.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan larangan semua bentuk majlis dan perhimpunan berkaitan PRN Melaka, termasuk pelancaran jentera pilihan raya, berkuat kuasa hingga 27 November depan.

Larangan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dibuat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak akibat PRN Melaka.

Bagaimanapun, larangan tersebut dibantah blok pembangkang, Pakatan Harapan termasuk UMNO yang menyifatkan ia sebagai melanggar prinsip demokrasi walhal krisis kesihatan Covid-19 masih melanda negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, 16 November (pengundian awal) dan pengundian biasa pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Susulan itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN bagi membolehkan mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

BERITA BERKAIT
POPULAR